Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 6 Mac. - Ke arah mencapai salah satu matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) iaitu mendukung pencapaian taraf sara diri, YSHHB turut mendukung usaha kerajaan membantu meningkatkan tahap sara diri golongan yang memerlukan bantuan melalui program keusahawanan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK).
SPK merupakan bantuan pengupayaan diri khusus bagi golongan sasar yang memerlukan iaitu berupa pemberian bantuan modal bagi menjalankan perusahaan berserta beberapa program dan kursus kemahiran yang bersesuaian.
Bentuk bantuan modal yang diberikan adalah mengikut kriteria dan kesesuaian pemohon seperti kewangan, material, latihan dan pemantauan.
Sehubungan itu, seramai 14 bakal Usahawan Bakarih YSHHB menerima bantuan modal keusahawanan di bawah SPK keseluruhannya berjumlah BND34,047 bagi membolehkan mereka menjalankan serta mengembangkan perusahaan yang telah dirancang.
Penyampaian sumbangan kewangan (bantuan modal perniagaan) YSHHB kepada penerima Bantuan Modal Keusahawanan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks YSHHB disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad yang juga selaku Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan YSHHB.
Turut hadir, Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.
Sebelum dipertimbangkan untuk menerima modal perusahaan atau perniagaan di bawah SPK, pada peserta diwajibkan untuk menjalani beberapa program latihan iaitu Program Asas Bakarih yang dirangka khas bagi memberikan kemahiran serta pengetahuan keusahawanan yang dikendalikan oleh YSHHB dengan kerjasama rakan strategik LiveWIRE Brunei.
Sejak SPK mula dilaksanakan pada tahun 2015 dan sehingga 2025, seramai 142 orang Usahawan Bekarih telah berjaya dilahirkan.
Melalui bantuan modal, latihan dan pemantauan, mereka telah berjaya mengusahakan beberapa jenis perusahaan seperti makanan dan minuman, pertanian, perkhidmatan cuci kereta dan bengkel kereta; pembuatan perabot dan kraf tangan dan sebagainya dan hari ini, seramai 14 orang Usahawan Bekarih YSHHB bakal dilahirkan.
Semua penerima bantuan memanjatkan syukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan kepada mereka termasuk Awang Roslan bin Haji Mohd. Yussof dan Dayang Norsharita binti Rosman.
Awang Roslan dari Hazimah Roslan Enterprise yang kini berkecimpung dalam pembuatan songkok hanya mengusahakan perniagaan secara 'homebased' untuk menerima tempahan daripada para pelanggannya.
Beliau yang mempunyai tujuh tanggungan dari Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Sungai Buloh, Bukit Sibanging berhasrat dengan adanya bantuan itu akan digunakan untuk membeli barangan jahitan dan juga mesin agar produksi songkok dapat dihasilkan dengan lebih banyak terutama sekali pada musim yang begitu banyak permintaan.
Sementara Dayang Norsharita binti Rosman yang mempunyai perniagaan sendiri iaitu Rita Healthy Care Enterprise bercita-cita untuk mempunyai ruang kedai sendiri pada masa akan datang sekali gus memperkenalkan perkhidmatan urut dan bekamnya yang dibukakan khas bagi wanita sahaja.
Buat ketika ini, ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak itu merasa gembira dengan menggunakan kemahiran beliau setelah belajar berurut dengan menawarkan perkhidmatan urut dan dalam masa yang sama, mendapatkan lagi mata pencarian bagi menyara keluarga beliau dan setentunya dapat membantu pelanggan beliau terus sihat menerusi khidmat urut dan bekam yang disediakan.
Setentunya kesemua mereka berharap usaha perniagaan yang sekarang bermulanya dari rumah ini akan dapat melebarkan sayap perniagaan mereka untuk menjadi usahawan berjaya yang bukan sahaja memperbaiki ekonomi keluarga malah menabur bakti dan kebajikan buat masyarakat dengan perkhidmatan atau niaga yang mereka usahakan